KP JKR: PAS dakwa KSN bohongi Agong
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 23 Jun: Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena)
mendakwa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan melakukan
pembohongan terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung pertukaran jawatan Datuk
Seri Dr. Judin Abdul Karim sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri
Pembinaan (CIDB).
Beliau berkata, pembohongan ini jelas terbukti apabila Mohd
Sidek memaklumkan kepada Tuanku Mizan bahawa pertukaran jawatan itu
dipersetujui oleh Judin sedangkan Judin secara tegas menolak pertukaran jawatan
itu.
"Apa yang berlaku KSN telah membuat pertukaran tersebut
dengan menyatakan bahawa telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Beliau kemukakankan kepada Yang di-Pertuan Agong
seolah-olah Judin telah setuju.
"Ini menunjukkan bahawa KSN telah melakukan penipuan
terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana sepatutnya sebelum KSN mempersembahkan
kepada Yang di-Pertuan Agong, dia telah mempersembahkan sesuatu yang telah
selesai dari sudut proses-proses yang mendapat persetujuan tiga pihak,"
kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau merujuk laporan akhbar Berita Harian hari ini bahawa
lima persatuan sekerja telah memperakui bahawa sebarang pertukaran dan pinjaman
jawatan mesti mendapat persetujuan tiga pihak.
Tiga pihak terbabit ialah Lembaga Pembangunan Industri
Pembinaan (CIDB), JKR dan individu yang ingin ditukarkan iaitu Judin sendiri.
"Kemudian barulah diangkat kepada pihak Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan kemudian barulah
diangkat oleh KSN kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya yang juga naib
presiden PAS.
Menyifatkan pembohongan itu suatu yang memalukan, Mahfuz
menggesa perkhidmatan KSN diberhentikan segera.
"Amat malang sekali apabila KSN berbohong terhadap
ketua negara oleh itu Perdana Menteri harus mengambil tindakan segera, tidak
harus berlalu begitu sahaja," katanya.
Rombak Kabinet
Selain itu, beliau menggesa kabinet sekarang dirombak dan
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor ditukar kerana gagal
mengendalikan kes ini.
"Rombakan kabinet perlu dilakukan segera untuk
memastikan JKR mempunyai seorang menteri yang baru yang mampu untuk
melaksanakan tugas kerana saya yakin bahawa isu yang membabitkan pertukaran
jawatan ini ada kaitan dengan kedudukan menteri yang gagal untuk menyelesaikan
masalah ini," katanya.
Tambahnya, jawatan Judin ditukarkan kerana menteri tidak
senang dengan integriti yang ada pada Judin.
"Ia berpunca daripada menteri sendiri yang tidak begitu
selesa dengan integriti yang ada pada Judin," katanya.
Akhir April lalu, Mohd Sidek mengumumkan Datuk Seri Dr.
Judin Abdul Karim ditukar jawatan daripada Ketua Pengarah JKR kepada Ketua
Eksekutif CIDB berkuat kuasa 1 Mei lalu.
Tempatnya itu diisi oleh Datuk Mohd. Noor Yaacob iaitu
Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II sebelum ini.
Bagaimanapun pertukaran itu ditolak Judin dan beliau masih
memasuki pejabat sebagai ketua pengarah JKR seperti biasa sehingga kini.
No comments:
Post a Comment