Kerajaan memutuskan untuk membekukan pembangunan di semua tanah-tanah
milik kerajaan dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL), Keretapi Tanah
Melayu Berhad dan tanah rizab di tepi sungai di Lembah Kelang.
Ketua
Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar,
Datuk Ahmad Phesal Talib berkata selain itu, kerajaan juga memutuskan
tanah-tanah berkenaan, yang seluas 144 hektar, dibekukan daripada
sebarang bentuk perkongsian awam swasta, penswastaan, penjualan atau
gantian tanah.
"Tujuannya adalah untuk memulihara persekitaran Sungai Gombak dan Sungai Klang yang diletakkan di bawah projek "River of Life".
"Pembekuan
tanah dalam kawasan 'River of Life' dibuat selama tiga tahun
berkuatkuasa 8 Februari 2012 hingga 7 Februari 2015 atau sehingga
pelaksanaan projek berjaya disiapkan mengikut fasa," katanya dalam
kenyataan malam tadi.
Beliau berkata projek itu merupakan
satu daripada sembilan Entry Point Project (EPP) di bawah inisiatif
"The Greater Kuala Lumpur/Klang Valley".
Ahmad Phesal berkata
projek berkenaan juga bertujuan memulihara Sungai Gombak dan Sungai
Klang untuk dijadikan pusat warisan dan komersil yang dinamik selain
membantu ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai 20 bandaraya teratas
dari segi kehidupan warganya.
"Ini bagi memastikan
tanah-tanah itu dapat menerima kesan dari segi peningkatan penilaian
hartanah hasil projek pengindahan sungai di bawah projek "River of Life"
dan memberi pulangan pelaburan kepada kerajaan," katanya.
Menurutnya
cadangan projek itu akan melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM4
bilion dan kerja-kerja pengindahan sungai sepanjang 10.7 km di bawah
program "River of Life" akan merangsang pelaburan dan prospek
pembangunan hartanah di sepanjang sungai berkenaan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment