Saturday, June 12, 2010

Rahsia Estates bina resort RM180j di Langkawi

Hanizah Abdul Hamid (kanan) menerangkan konsep pembangunan Rahsia Estates Resorts Residences and Spa Langkawi kepada James Dawos Mamit (dua dari kanan), Azian Aiyub Ghazali (dua dari kiri) dan Mohamed Azahari Kamil, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Jun - Rahsia Estates Sdn. Bnd. membuat pelaburan RM180 juta dengan membina sebuah resort dan spa bertaraf enam bintang di Pulau Langkawi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Hanizah Tun Abdul Hamid.

Menurutnya, resort yang dikenali sebagai Rahsia Estates Resorts Residences and Spa Langkawi yang akan dibina di atas tanah seluas 6.8 hektar itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2014.

"Resort berkenaan akan dibahagikan kepada empat bahagian kepada empat bahagian iaitu butik hotel yang menawarkan 18 vila mewah, kompleks hotel dengan 110 kelab suit dan 31 vila cabana.

"Projek ini dijangka meningkatkan nilai hartanah di kawasan tersebut yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM250 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) dengan Asian Finance Bank (AFB) di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini hari ini.

Turut Hadir, Timbalan Menteri Perlancongan, Datuk Dr. James Dawos Mamit, Ketua Pegawai Eksekutif AFB, Datuk Mohamed Azahari Kamil dan Pengerusi Rahsia Estates, Datin Seri Azian Aiyub Ghazali.

Hanizah berkata, projek ini akan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Indeks Bangunan Hijau bagi memelihara dan mengekalkan kehijauan yang menjadi daya tarikan Langkawi.

"Peluang yang ada di pulau itu masih belum diterokai sepenuhnya dan saya yakin jenama hospitaliti resort ini akan menawarkan gaya hidup masyarakat Malaysia kepada pengunjung.

"Apabila beroperasi kelak resort ini akan menjadi mercu tanda Langkawi yang baru dan menawarkan kediaman mewah, perkhidmatan pelanggan kelas dunia serta keselamatan yang terjamin sepanjang masa," katanya.

Tambah Anizah, walaupun mengusahakan pembangunan berstatus mewah, Rahsia Estates tidak akan mengabaikan penduduk tempatan yang berada di sekitar kawasan itu.

"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan keadaan semula jadi kawasan tersebut untuk mengelakkan pendapatan nelayan tempatan terjejas.

"Kami akan membina jeti khas baru untuk mereka serta sedang merancang beberapa projek lain dan ini termasuk dalam tanggungjawab sosial syarikat (CSR)," katanya.

Mengulas mengenai MoA dengan AFB, Hanizah berkata, persetujuan ini merupakan perkongsian strategik yang mana mereka akan menarik pelabur dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Mohamed Azahari berkata, AFB sebahagian daripada Kumpulan Qatar Islamik Bank dan ia memberi kelebihan kepada kami dalam menerokai pasaran Asia.

"AFB akan mencari pelabur terpilih dari Timur Tengah dan juga Eropah untuk melabur untuk projek ini kerana kami yakin dengan kebolehan Rahsia Estates," katanya.
UM

No comments: