Saturday, June 12, 2010

PASDEC sasar jualan RM10 juta

KUANTAN 11 Jun - Anak syarikat Kerajaan Pahang, Kumpulan Pasdec Holdings Bhd. (PASDEC) menyasarkan hasil jualan produk kediaman dan komersial bernilai RM10.4 juta sepanjang Karnival Jualan PASDEC 2010 yang diadakan di pusat beli-belah Kuantan Parade, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PASDEC, Mohd. Khairuddin Abdul Manan berkata, selain fokus terhadap sasaran hasil jualan, karnival yang berlangsung selama empat hari bermula semalam itu bertujuan memperkukuhkan penjenamaan dan meningkatkan kesedaran umum terhadap produk terkini yang ditawarkan PASDEC.

Beliau memberitahu, pihaknya turut memberi tawaran istimewa bagi kepada pembeli hartanah bagi tempoh sebulan bermula 1 Jun lalu.

"Pada acara tahunan ini, kita menjangkakan mampu untuk menjual kira-kira 123 unit kediaman dan komersial pelbagai jenis yang dibina oleh PASDEC di sekitar negeri ini.

"Dengan itu, diharapkan kita dapat mencapai sasaran hasil jualan iaitu RM10.4 juta selama karnival ini berlangsung," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Karnival Jualan PASDEC 2010 di Kuantan Parade, di sini hari ini.

Karnival itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan negeri, Datuk Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak.

Menurut Mohd. Khairuddin, pada karnival itu, PASDEC melancarkan dua lagi projek yang akan dibangunkan pada tahun ini iaitu Projek Pasdec Damansara Fasa 1 Pakej 2 melibatkan pembinaan 57 unit rumah teres dua tingkat berharga RM188,888 ke atas dan Vista Virde iaitu projek berkonsep kontemporari di Batu 6, Gambang dekat sini yang merangkumi 81 unit teres dua tingkat berharga RM250,000 ke atas.

Beliau memberitahu, bagi kedua-dua projek terbaru itu, PASDEC menerapkan reka bentuk dan 'trend' terkini bagi menepati cita rasa semasa pembeli.

"Tema Karnival PASDEC tahun ini ialah 'Membina Gaya Hidup.. Memenuhi Impian'.

''Dengan berkonsep gaya hidup sihat, selamat dan kehijauan, ia dilihat bersesuaian dengan 'trend' terkini yang diterapkan oleh PASDEC dalam projek pembangunan perbandaran seperti di Bandar Putra, Tanjung Lumpur di sini.

"Antara ciri-ciri yang ditampilkan ialah persekitaran eksklusif digabungkan dengan elemen keselamatan, ketenangan, kehijauan alam sekitar dan kemudahan persekitaran lengkap," katanya.
UM

No comments: