Thursday, June 10, 2010

Rumah mampu milik dan berkualiti dalam RMK10

Jun 10, 10 2:38pm
Kerajaan akan membina sebanyak 78,000 unit baru perumahan awam yang mampu milik di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Menurut laporan RMK10 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, perumahan awam kos rendah akan disedia kepada individu dan keluarga yang layak dengan pendapatan isu rumah kurang daripada RM2,500 sebulan, bergantung kepada jenis rumah yang disediakan, dan ini selaras dengan agenda kerajaan untuk membantu meningkatkan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah.

Laporan itu menyebut lazimnya kerajaan menanggung subsidi sebanyak 30 hingga 75 peratus daripada jumlah kos pembinaan perumahan awam.

Di bawah skim perumahan awam di bandar yang disedia Jabatan Perumahan Negara, rumah berkeluasan 700 kaki persegi dijual dengan harga RM42,000 kepada keluarga dan individu berkelayakan.

Menurut laporan itu, kerajaan akan menyusun semula penyediaan perumahan awam dengan mempertanggungjawabkan ke atas satu agensi persekutuan untuk menyediakan perumahan dibiayai oleh kerajaan persekutuan dan sektor swasta juga dijangka memainkan peranan lebih besar dalam penyediaan perumahan.

Laporan itu menyebut kerajaan akan mewujudkan Tabung Penyelenggaraan Perumahan dengan dana permulaan berjumlah RM500 juta untuk membantu penghuni perumahan kos rendah dan swasta bagi kerja pembaikan besar dan penyelenggaraan seperti lif dan tangki air.

Dana tersebut berasaskan kepada geran sepadan yang separuh daripadanya perlu disumbang oleh penghuni rumah melalui badan pengurusan bersama atau pengurusan perbadanan.

Laporan itu menyatakan bahawa dana berkenaan merupakan tambahan kepada Tabung Perumahan 1Malaysia yang diwujudkan melalui sumbangan daripada kerajaan dan beberapa perbadanan swasta pada Februari lepas, yang menyediakan bantuan bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan utama rumah kos rendah swasta di Kuala Lumpur.

Perundangan sedia ada termasuk Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 akan dikaji semula untuk menambah spesifikasi minimum bagi memastikan kualiti dalam penyediaan perumahan mampu milik.

Laporan itu menyebut kerajaan juga akan mengkaji pemberian insentif cukai seperti pengurangan cukai bagi bangunan dan reka bentuk yang mesra alam yang menggabungkan elemen reka bentuk hijau, contohnya panel suria untuk pemanasan, kemudahan sistem penuaian air hujan dan ciri pemuliharaan air.

Penekanan juga akan diberi untuk mewujudkan ruang awam di dalam projek perumahan yang lengkap belandskap dengan kemudahan asas seperti taman riadah dan permainan untuk meningkatkan interaksi dan integrasi antara komuniti setempat.

Dalam memupuk industri perumahan yang sihat dan mampan, kerajaan akan menggalakkan usaha pembangunan semula bandar melalui mekanisme penjualan en-bloc.

Kerajaan akan melaksana satu mekanisme untuk memudahkan penjualan pembangunan milikan secara bersama dan ia akan dilaksana melalui pindaan undang-undang berkaitan penjualan secara blok bagi membolehkan penjualan tanah dan hartanah secara bersama dengan mejoriti atau menerusi mekanisme penjualan en-bloc.

Tahap persetujuan majoriti menjual akan ditentukan melalui persetujuan sekurang-kurangnya 80 hingga 90 peratus pemilik, ini akan mewujudkan insentif pasaran untuk pihak swasta membangun semula hartanah yang usang di kawasan utama.

Selain itu, kerajaan akan memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan untuk melindungi kepentingan pembeli rumah terutama berkaitan kualiti pembinaan rumah.

Dalam menggalak penggunaan pendekatan Bina kemudian Jual (BKJ), pemaju perumahan akan digalakkan untuk mengguna pakai pendekatan BKJ melalui penyediaan insentif tambahan seperti mempercepatkan proses kelulusan tanah dan pelan bangunan serta pengecualian pembayaran deposit bagi lesen pemaju perumahan.

Mengenai projek perumahan terbengkalai, kerajaan akan terus memantu memulih projek perumahan terbengkalai, sehingga 30 April 2010, terdapat 107 projek terbengkalai dengan 38,600 unit rumah melibatkan 25,300 pembeli.

- Bernama

No comments: