Sebuah bangunan pejabat setinggi 31 tingkat yang dalam pembinaan di KL Sentral di Kuala Lumpur, terbakar awal pagi tadi.
Kejadian
yang dipercayai berlaku pada 3 pagi melibatkan tingkat 30 dan 31
bangunan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di sekitar
kawasan berkenaan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua
Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata api
merebak dengan cepat menyebabkan bahan binaan seperti kepingan kayu
jatuh dan membahayakan orang ramai.
"Kita terima panggilan pada
3.53 pagi dan seramai 95 anggota bomba serta 17 jentera dari balai bomba
sekitar Lembah Klang dikejarkan untuk memadam kebakaran," katanya
kepada pemberita di tempat kejadian.
Katanya bomba menghadapi
kesukaran mengawal api dan terpaksa menggunakan perancah mulai aras 26
untuk naik ke tingkat atas bangunan itu. Api dapat dikawal kira-kira
8.30 pagi.
Azizan berkata laluan masuk ke Brickfields iaitu
melalui Jalan Bangsar dan Jalan Tun Sambanthan terpaksa ditutup sehingga
12 tengah hari untuk kerja-kerja pemadaman dan siasatan.
Tinjauan
mendapati ratusan kenderaan terperangkap dalam kesesakan di laluan
sekitar KL Sentral ketika warga kota sibuk menuju ke tempat kerja.
- Bernama
No comments:
Post a Comment