Friday, June 24, 2011

Bazar Tok Guru: Peniaga mohon maaf




M Yarisman
KOTA BHARU, 23 Jun: “Saya bagi pihak Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB memohon maaf
kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik
Mat, yang mana silap laku saya itu saya mohon maaf,” demikian pengakuan mohon maaf
secara terbuka Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Abdul Salim Ahmad.

Berucap pada sidang media sempena Majlis Pengundian Bazar Tok Guru oleh pada peniaga
Majlis Perbandaranan Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Dewan Jubli Perak MPKB
di sini semalam, Salim mendakwa sekiranya beliau telah bertindak kasar dan agresif
sebelum ini, maka itu adalah sebagai tuntutan daripada ahli persatuannya.
Sehubungan itu beliau menyeru kepada ahli persatuan serta para peniaga umumnya agar
berprasangka baik dengan pihak kerajaan negeri.

Beliau berharap selepas ini, pihak persatuan dan para peniaga berbaik-baik dengan pihak
kerajaan negeri dan para pegawainya.
“Berbaik-baik dan jangan salah sangka kepada pimpinan kerajaan negeri dan para pegawainya
yang telah banyak membantu kita khususnya dalam segi pemilihan lot-lot gerai di Bazar Tok Guru.
“Kini ada jalan penyelesaian, dan kita pun jemu dah dengan keadaan semasa, berarak sana,
berarak sini. Saya sebagai pengerusi persatuan, maka setakat inilah perjuangan saya bersama ahli-ahli saya.

“Saya terimalah mandat kerajaan negeri, dan kita tidak akan bincang (memanjangkan) lagi cerita kita ini,”
katanya sambil menyifatkan keputusan pihak kerajaan negeri yang meluluskan dibuang sebanyak 26 gerai
dengan nilaian lebih RM2 juta sebagai ‘kebajikan laluan’ di bazar itu adalah sebagai pengorbanan kepada
para peniaga berkenaan.

“Ini bermakna, tidak terkiralah pengorbanan kerajaan negeri kepada peniaga-peniaga kita,
alhamdulillah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sanusi Osman dalam
satu kenyataan media berkata, seramai 230 peniaga telah diundang hari ini (22 Jun 2011) bagi
menjalani proses pengundian petak perniagaan di tingkat bawah Bazar Tok Guru di Jalan Sultan
Ibrahim di sini.

Sementara proses menandatangani perjanjian jual  beli akan diselesaikan selewat-lewatnya pada
28 Jun ini dan serahan milikan kosong akan dilaksanakan sebelum 1 Julai.
“Seramai 326 peniaga dijangka dapat memulakan perniagaan di Bazar Tok Guru pada 1 Julai 2011,” katanya.
harakah daily


No comments: