Wednesday, March 23, 2011

Malu sampah hiasi Sg. Merab




KAJANG 22 Mac – Memalukan dan menyakitkan mata. Itulah perasaan penduduk sekitar Sungai Merab Luar di sini dengan kewujudan timbunan sampah di tepi jalan kampung berkenaan.
Keadaan itu berpunca daripada sikap orang ramai yang kurang kesedaran sivik terhadap kebersihan persekitaran sehingga mengambil mudah soal pelupusan sampah mereka.
Seorang penduduk, Wan Jamaludin Wan Malek, 45, berkata, masalah itu telah berlarutan sejak enam tahun lalu apabila pihak berkuasa tidak lagi meletakkan tong sampah di situ.
Katanya, lebih memburukkan keadaan ialah apabila semakin ramai yang bertindak membuang sampah di situ, dipercayai kerana terikut-ikut dengan sikap segelintir masyarakat.
“Mereka ini bertindak demikian mungkin kerana sudah biasa membuang sampah di situ dan mengetahui bahawa pihak berkuasa akan mengutip sampah berkenaan setiap hari,” katanya ketika ditemui di sini.
Wan Jamaludin berkata, memang pihak berkuasa akan mengutip sampah di situ pada awal pagi tetapi menjelang senja, tempat itu sudah penuh kembali dengan sampah.

“Keadaan ini sangat memalukan memandangkan jalan ini merupakan laluan utama orang ramai termasuk orang kenamaan untuk ke Institut Islam Malaysia (ILIM) dan Institut Perguruan Islam yang terletak berhampiran,” katanya.
Ujarnya, orang ramai yang melalui jalan tersebut pasti akan mempunyai tanggapan serong terhadap penduduk di situ apabila melihat keadaan sampah di tepi jalan itu.Seorang lagi penduduk, Hassan Abd. Rahman, 72, meminta agar orang ramai tidak lagi membuang sampah di situ kerana itu bukan kawasan pelupusan sampah.

Di samping itu, dia meminta pihak berkuasa, khususnya Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memainkan peranannya dengan menyediakan kemudahan tong sampah atau kawasan pembuangan sampah yang lain.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan, kerana ia bukan sahaja boleh mendatangkan bahaya penyakit, malah turut mencemarkan kawasan ini,” katanya.

Hafizah Hasni, 43, pula berkata, pihak berkuasa harus memantau perkara itu dengan lebih rapi bagi menghukum anggota masyarakat yang membuang sampah di situ dengan harapan langkah itu akan mendidik mereka supaya lebih bertanggungjawab.

Katanya, pihak berkuasa perlu bersikap tegas supaya masalah itu dapat diatasi sepenuhnya dan tidak lagi mengganggu penduduk sekitar.

No comments: