Wednesday, March 23, 2011

Kaji semula lampu isyarat


SISTEM lampu isyarat di persimpangan berhampiran Masjid Al-Qurtubi di Taman Sri Segambut didakwa punca berlakunya kemalangan di persimpangan tersebut kerana dikatakan mengelirukan dan tidak menepati keperluan. - utusan/Firdaus Latif


KUALA LUMPUR 22 Mac - Penduduk Taman Sri Segambut di sini meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula serta membuat penambahbaikan pada sistem lampu isyarat di persimpangan Masjid Al-Qurtubi.
Ini kerana sistem sedia ada dikatakan tidak menepati keperluan di persimpangan tersebut, sekali gus menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna.
Penduduk mendakwa, sudah banyak kemalangan berlaku di persimpangan itu dan jika tiada tindakan segera diambil, lebih banyak kemalangan dikhuatiri akan berlaku.
Setiausaha UMNO Bahagian Segambut, Ismail Saibu (gambar) berkata, DBKL perlu membuat pemantauan semula dan melakukan beberapa perubahan demi keselamatan dan kemudahan pengguna.
Katanya, kekeliruan lampu isyarat di simpang lima itu sering berlaku di kalangan pengguna dari arah masjid ke Taman Petaling dan Kepong Baru.
Ujarnya, apabila berlaku kemalangan, sering juga terjadi pemandu yang terlibat terjatuh ke dalam Sungai Keroh selepas terlanggar besi palang bersebelahan sungai itu.
"Kemalangan seperti itu sudah sering kali berlaku dan ia pasti akan terus berlaku jika sistem lampu isyarat di simpang ini tidak dikaji semula dan ditambah baik dengan kadar segera," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat ke persimpangan itu bersama Ketua Gerakan Segambut, Chung Chee Kin dan wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ismail berkata, selain itu, terdapat juga beberapa kekurangan di persimpangan tersebut yang turut menjadi punca berlakunya kemalangan.
Antaranya, kata beliau, ialah pagar yang terlalu rendah sehingga menyukarkan pemandu untuk melihat jalan yang betul.
"Selain memperbaiki masalah pagar itu, kita juga memohon agar pihak DBKL memasang papan tanda Dilarang Masuk di persimpangan keluar dari masjid agar tidak mengelirukan pengguna," katanya.

No comments: