Thursday, December 23, 2010

Peluang kontraktor Malaysia terlibat projek RM17.5b di India


PUTRAJAYA 21 Dis. - Kontraktor Malaysia berpeluang untuk terlibat dalam pembangunan dan pembinaan lebuh raya sepanjang 1,000 kilometer bernilai RM17.5 bilion di India selepas termeterainya memorandum persefahaman (MoU) pembangunan dan pengurusan lebuh raya kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek-projek tersebut tidak terhad kepada penambahbaikan lebuh raya sedia ada tetapi juga terlibat dalam pembinaan lebuh raya baru.
''Projek kali ini amat berbeza dengan penglibatan kontraktor Malaysia di negara itu kerana sebelum ini kita terhad kepada penambahbaikan lebuh raya sedia ada.
''Pembangunan lebuh raya baru bagaimanapun bukan sesuatu yang asing bagi kontraktor Malaysia memandangkan kebanyakan kontraktor berkaitan mempunyai pengalaman dan mampu melaksanakan pembangunan laluan baru di India," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan MoU Pembangunan dan Pengurusan Lebuh Raya antara Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor dengan Menteri Pengangkutan dan Lebuh Raya India, Kamal Nath di sini hari ini.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Autoriti Lebuh Raya Nasional India telah diberi tanggungjawab melaksanakan perkara-perkara yang terkandung dalam MoU tersebut.
Najib berkata, pemeteraian memorandum itu merupakan pengiktirafan kerajaan India terhadap keupayaan Malaysia dalam melaksanakan kemudahan prasarana terutama dalam membangunkan lebuh raya.
''India mempunyai program pembinaan jalan sepanjang 7,000 kilometer setahun atau kira-kira 20 kilometer sehari, mereka berdepan masalah yang besar untuk memenuhi keperluan ini dan sebab itu syarikat Malaysia mempuyai peluang yang baik untuk melaksanakan sebahagian daripada projek ini.
''Kedua-dua kerajaan pada peringkat seterusnya akan menentukan kaedah pembahagian kerja, kadar pembayaran dan sebagainya," katanya.
Perdana Menteri berkata, selain lebuh raya, Malaysia pada masa ini turut terlibat dalam pembangunan jambatan, bekalan air, bangunan, stesen jana kuasa, pembangunan bercampur, landasan kereta api dan pelbagai kerja-kerja kejuruteraan awam.
''Pada masa ini kontraktor Malaysia terlibat dalam 74 projek bernilai RM14 bilion dan daripada jumlah ini, hampir 50 peratus projek adalah tertumpu kepada projek berkaitan dengan pembinaan jalan dan lebuh raya.
''Malaysia amat berminat utnuk mengembangkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara, kehadiran kontraktor kita di India adalah sebagai pelengkap dan bukannya pesaing," katanya.
Beliau menambah, penglibatan kontraktor Malaysia dalam pembangunan lebuh raya terutamanya bagi skop operasi dan penyelenggaraan telah menyediakan platform bagi kontraktor India untuk meningkatkan pengetahuan teknikal mereka.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata, Malaysia akan mempunyai prospek ekonomi yang baik pada 2011 walaupun berdepan dengan kemungkinan kelembapan ekonomi antarabangsa.
''Kita akan menekankan permintaan domestik dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan memberi kesan yang baik," katanya.

No comments: