Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Isu berkaitan pembinaan Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor atau kini dikenali sebagai KLIA2, timbul lagi.
Kali ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd. (AirAsia), Datuk Seri Tony Fernandes mendakwa pembinaan terminal itu bakal lewat setahun berbanding sasarannya pada April 2012.
Kelewatan itu dikatakan menjejaskan operasi AirAsia yang sedang berkembang pesat.
Namun timbul persoalannya, benarkah KLIA2 itu akan lewat siapnya atau orang kuat syarikat penerbangan tambang murah itu sekadar mahu memberikan tekanan tidak langsung agar Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menyegerakannya lagi.
Seperti biasa, peneraju pengendali lapangan terbang itu lebih gemar untuk menutup mulutnya dan membiarkan orang kuat AirAsia bercakap semahunya.
Barangkali, MAHB lebih senang membiarkan hanya tangannya yang lebih banyak membuat kerja berbanding banyak berkata-kata. Sebagai pelaksana projek itu, ia pastinya akan berusaha untuk siapnya seperti yang rancang.
Lagipun, setiap syarikat yang dilantik terlibat dalam projek terminal itu mempunyai perjanjian dengan MAHB, di mana sekiranya berlaku sebarang penangguhan projek, mereka akan dikenakan penalti.
Ketika projek KLIA2 masih lagi mempunyai tempoh selama 15 bulan untuk disiapkan, kenyataan Fernandes dilihat tidak mempunyai asas untuk menyatakan bakal berlakunya kelewatan.
Sememangnya tidak menafikan terdapat kerja-kerja pembinaan yang tertangguh tetapi mana-mana syarikat yang terbabit pastinya akan menyegerakannya.
Seperti mana-mana pelaksanaan projek mega lain, syarikat yang menjadi pengendali projek akan mengambil kira sebarang kemungkinan kelewatan projek.
Meskipun Fernandes menyuarakan kebimbangan dalam kegagalan MAHB menyiapkan landasan kedua, KLIA2 masih boleh beroperasi kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memiliki dua landasan.
Sebagai syarikat yang mempunyai rekod cemerlang, pengendali lapangan terbang tempatan itu dan terkenal di luar negara, pastinya kelewatan atau kegagalan untuk menyiapkan projek itu bukan satu pilihan.
Sama ada MAHB berjaya menyiapkannya atau tidak KLIA2 mengikut jadual, ia akan hanya diumumkan apabila sebahagiannya berjaya disiapkan. Lagipun, sekiranya projek itu ternyata berjaya disiapkan seperti mana tempohnya, Fernandes tidak akan rugi apa-apa.
No comments:
Post a Comment