Tuesday, November 30, 2010

PM: Menara 100 tingkat diterus selagi berdaya maju

Cadangan pembinaan menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat oleh Permodalan Nasional Bhd akan hanya diteruskan jika ia berdaya maju, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, katanya, projek berkenaan mesti juga menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang lebih luas dalam ruang kawasan terbabit dan mewujudkan peluang perniagaan.

"Projek ini mesti memenuhi syarat-syarat tersebut dan jika ia dipenuhi, ia boleh diteruskan.

"Ia mesti menyediakan dorongan dan pemangkin untuk Kuala Lumpur yang lebih luas," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada seminar Pelabur Menteri-menteri Kewangan Asean ke-7 bertema "Discovering Tomorrow's Asean", di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri berkata, ia adalah projek jangka panjang dan tidak harus dilihat bagi tempoh satu atau dua tahun.
Semalam, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa rancangan kerajaan bagi membina bangunan 100 tingkat Warisan Merdeka akan menyaksikan lebihan hartanah dan ruang npejabat yang kini sudahpun melanda Lembah Klang.

NONE“Jika anda bertanya saya, kita belum memerlukan menara 100 tingkat itu,” kata Mahathir ketika menjawap soalan daripada hadirin pada persidangan "Revisiting Vision 2020".
"Saya lihat banyak papan tanda 'untuk dijual' dan 'untuk disewa' apabila saya bersiar-siar. Ini bermakna kita telah mempunyai bangunan yang mencukupi.

Sebelum ini, Mahathir menggesa kerajaan merujuk dengan rakyat berhubung projek Warisan Merdeka dan secara tidak langsung menyokongnya kerana berpendapat ia akan memberi kesan ekonomi yang positif.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, terpulang kepada PNB untuk membuat perkiraan kewangan.

Mengenai persepsi bahawa Warisan Merdeka akan menenggelamkan Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat, yang diilhamkan oleh Dr Mahathir, Najib berkata: "Ia merupakan kenyataan yang semberono. Kita bercakap mengenai kesinambungan.

"Apa yang sudah dilakukan oleh Tun Mahathir disanjung tinggi, namun kita perlu meneruskan kejayaan beliau dan bergerak dan memajukan Malaysia."

Selain itu, beliau berkata Warisan Merdeka merupakan projek 10 tahun dan melepasinya dan kawasan di sekitar Stadium Merdeka, lokasi projek itu, merupakan kawasan strategik.

"Jika anda lihat latar langit Kuala Lumpur pada 2020, ia tidak boleh sama seperti hari ini. Pudong di Shanghai mempunyai banyak bangunan pencakar langit. Pastinya lebih banyak lagi.

"Baik kita bayangkan KL pada tahun 2020. Cuba lihat perspektif jangka panjang. Lebih-lebih lagi jika wawasan 2020 direalisasikan, ia merupakan wawasan yang diilhamkan sendiri oleh Tun Mahathir," kata Najib.

No comments: