Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
2010/07/05
PETALING JAYA: Lebih 1,500 penduduk Pangsapuri Sri Aman, di sini bingung dan bimbang dengan tahap keselamatan keluarga masing-masing apabila mendakwa rumah yang diduduki sejak 2006 diberi sijil layak menduduki (CF) palsu. Penduduk mendakwa sijil layak menduduki yang diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 2003 dan 2006 adalah palsu kerana sijil itu dikeluarkan di tapak lain dan bukan di lot pangsapuri sekarang.
Ketiadaan sijil layak menduduki itu menyebabkan ada penduduk yang terpaksa berputih mata apabila gagal mendapatkan tuntutan insurans apabila berlaku kebakaran dan kemalangan membabitkan rumah mereka.
Lebih menimbulkan kemarahan penduduk apabila tapak asal pembinaan yang sepatutnya menjadi tapak asal Pangsapuri Sri Aman akhirnya didirikan sebuah kondominium.
Penduduk mendakwa tidak cukup dengan itu, pemaju kondominium juga mahu berkongsi loji kumbahan walaupun pembinaan kondominium atas tapak terbabit yang terletak bersebelahan pangsapuri itu diragui statusnya.
Apa yang disangsikan penduduk dalam pelan asal tiada dinyatakan tanah kosong menjadi tapak asal Pangsapuri Sri Aman akan didirikan sebuah kondominium.
Pengerusi Rukun Tetangga dan Penduduk Pangsapuri Sri Aman, Abdul Kahar Ahmad, berkata mengikut pelan asal pembinaan pangsapuri itu adalah di sebahagian lot PT 9 dan PT 10 Seksyen 22/44.
Dalam pelan itu ada dinyatakan lot tanah itu untuk pembinaan satu blok rumah pangsa kos rendah 340 unit, 11 tingkat dan 13 unit kedai bagi kegunaan penduduk yang dipindahkan daripada perkampungan setinggan berhampiran.
Apa yang menghairankan pangsapuri ini dibina atas lot PT 10 saja dan bukan atas PT 9 seperti dinyatakan dalam pelan. Lebih malang lagi sijil layak menduduki menyatakan pangsapuri Sri Aman kini berada di tapak lot PT 9 yang kini didirikan sebuah kondominium, katanya.
Katanya, keadaan ini seakan berlaku penipuan terhadap pelan asal pembinaan dan berlarutan kepada masalah sijil layak menduduki yang menyusahkan penduduk jika berlaku kejadian tidak diingini.
Masalah ini terbukti apabila pada 2009 seorang penduduk, Hashim Mat Yusoh tidak dapat menuntut insurans apabila rumahnya terbakar atas alasan sijil layak menduduki bukan berada di tapak sebenarnya.
Kami memohon supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat menyiasat perkara ini kerana masalah ini membabitkan keselamatan penduduk, katanya
BHO
No comments:
Post a Comment