Monday, July 5, 2010

Industri hotel bakal gulung tikar?


KUALA LUMPUR 4 Julai - Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho) mendapati purata kadar sewa bilik di Malaysia terendah di Asia Tenggara sekali gus menyumbang perolehan yang mengecil dan dijangka mengakibatkan industri perhotelan di negara ini 'gulung tikar'.
Sebagai contoh, purata kadar sewa bilik bertaraf lima bintang di Singapura dan di negara-negara lain adalah 50 peratus lebih tinggi berbanding di Malaysia.
Presiden Maho, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kajian yang dilakukan menunjukkan purata kadar sewa bilik hotel lima bintang di Singapura berharga RM766 sebilik berbanding RM320 di Malaysia.
Menurut Abdul Aziz, jumlah itu menunjukkan satu jurang perbezaan yang amat tinggi kepada industri perhotelan di negara ini dan menjejaskan kemampuan pengurusan sesebuah hotel.
Pihaknya kini bimbang mengenai hasil yang rendah diperoleh dalam industri perhotelan pada waktu ini kerana ia boleh mengakibatkan industri perhotelan negara lumpuh dalam jangka masa yang panjang.
Katanya, hasil yang rendah boleh menyebabkan sesebuah pengendali hotel tidak mampu untuk meneruskan operasi dan terpaksa 'gulung tikar'.
"Apabila hasil yang diperoleh rendah, pengusaha hotel di negara ini tidak mampu mengurus dan melakukan transformasi terhadap hotel masing-masing termasuk pembaharuan perabot bagi menggalakkan kadar penginapan pelancong,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Maho kini mempunyai keahlian yang dianggotai sebanyak 62 buah syarikat dengan 160 buah hotel termasuk tiga hingga lima bintang.
Persatuan itu ditubuhkan pada Mac 1998.
Dalam pada itu, Abdul Aziz turut memohon kerajaan memberi insentif kepada pengendali industri perhotelan bagi menggalakkan pertumbuhan industri itu di negara ini.
Katanya, antara insentif yang dipohon adalah pengecualian cukai dan penawaran skim pinjaman mudah kepada pengusaha hotel di negara ini.
"Sekiranya insentif yang diberikan menarik, kami di Maho yakin bahawa banyak pelabur asing mahu membina hotel di negara ini selain pengendali hotel tempatan dapat mengukuhkan tapak perniagaan masing-masing,'' katanya.
Ketika ditanya nilai pembaharuan perabot di sesebuah hotel pada waktu ini, Abdul Aziz berkata, setiap hotel menggunakan kos perbelanjaan yang berbeza.
Namun, berdasarkan praktis sedia ada, kos minimum untuk memperbaharui perabot bagi sebuah hotel adalah RM50 juta hingga maksimum RM200 juta.
Katanya, dasar pembaharuan itu juga bergantung kepada kemampuan kewangan sesebuah hotel.
"Kebanyakan hotel memperbaharui perabot masing-masing setiap lima tahun sekali dan ada yang terpaksa menangguhkan proses itu kepada 10 tahun sekali,'' ujarnya.
UMO

No comments: