Monday, July 5, 2010

Bawa arkitek Malaysia ke pasaran dunia

KUALA LUMPUR 4 Julai - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan bekerjasama dengan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) untuk membawa reka bentuk, corak dan idea Malaysia ke pameran arkitektur antarabangsa terkemuka di dunia, La Biennale Di Venezia di Venice, Itali pada tahun ini.
Lebih 20 syarikat reka bentuk arkitektur Malaysia akan mengambil bahagian pada acara itu, yang akan diadakan dari 26 Ogos hingga 21 November.
"Penyertaan di La Biennale Di Venezia adalah satu mercu tanda yang signifikan bagi sektor arkitektur Malaysia kerana ia merupakan satu acara ikon dam pameran terkenal di kalangan komuniti arkitektur global," kata Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Noharuddin Nordin dalam satu taklimat di sini baru-baru ini.
Katanya, sebaik sesebuah negara itu terpilih menyertai pameran itu, negara itu akan mendapat pengiktirafan di dalam industri global kerana penyertaan di acara itu adalah berdasarkan jemputan dari pihak penganjur.
Sementara itu, Presiden PAM, Ar Boon Chee Wee berkata, objektif penyertaan di acara itu ialah untuk mempromosikan arkitektur Malaysia ke seluruh dunia.
"Dengan menyertai La Biennale Di Venezia dan nama negara ini di dalam direktori rasmi, ia menyediakan satu lorong bagi Malaysia untuk menganjurkan acara penerangan bergerak di dalam tempoh satu atau dua tahun di negara lain bagi mempamerkan model arkitektur mereka yang dipamerkan di Venice," katanya, sambil menyatakan kira-kira 40 model arkitektur dari Malaysia akan diperagakan di acara itu. - Bernama

No comments: