Monday, June 14, 2010

Saham pembinaan, hartanah, utiliti dapat manfaat pengumuman RMK-10

KUALA LUMPUR 11 Jun - Pasaran ekuiti dijangka bertindak balas positif terhadap pelancaran Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk tempoh 2011 hingga 2015.

Saham-saham berkaitan pembinaan, hartanah dan utiliti, dijangka meraih manfaat daripada pengumuman 52 projek berimpak tinggi bernilai RM63 bilion, yang akan dilaksanakan dalam tempoh RMK-10, kata firma penyelidikan.

Projek-projek tersebut termasuk tujuh lebuh raya bertol, dua loji tenaga arang batu dan pembangunkan 1,335 hektar (3,300 ekar) tanah di Sungai Buloh.

Turut diumumkan ialah pembangunan tanah lapangan terbang Sungai Besi di Kuala Lumpur dan Wilayah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur, selain loji regasifikasi di Melaka.
UM

OSK Research berkata, pembinaan dan hartanah secara semula jadinya akan memperoleh impak terbesar daripada projek-projek terbabit, dengan potensi manfaat kepada peserta pembinaan Sarawak.

MIDF Research yang bersetuju terhadap pandangan itu berkata, ia mengenal pasti Naim Holdings dan Hock Seng Lee sebagai penerima manfaat dalam tempoh terdekat, pengumuman RMK-10 itu.

Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) juga dijangka turut menyertai dalam pelbagai projek rel.

"Bagi hartanah, sambil menyatakan bahawa nilai tanah akan meningkat berikutan pembangunan Sungai Buloh, lapangan terbang Sungai Besi dan Kampung Baru, kami bimbang terhadap nilai hartanah komersial boleh tersekat jika pelancaran pembangunan baharu ini tidak dirancang dengan teliti," kata OSK.

Sektor utiliti yang akan mendapat manfaat ialah loji LNG dan loji tenaga arang batu baharu, manakala pengurangan subsidi akan membantu menangani masalah kekurangan bekalan.

Sebuah lagi firma penyelidikan, Kenanga Research, pula berkata kontraktor yang mempunyai lembaran imbangan yang kukuh akan dapat membida lebih banyak projek yang kompetitif, menerusi kontrak pembayaran tertangguh, kos pembinaan yang lebih rendah menerusi pembelian bahan menggunakan tunai selain kadar faedah yang rendah.

Pasaran bagaimanapun tidak banyak memberi tindak balas selepas pengumumkan pelan pembangunan lima tahun itu memandangkan ia sudah dijangkakan.

"RMK-10 juga tidak mengejutkan memandangkan khabar angin sudah mendedahkan rancangan itu.

"Ia (pengumuman) lebih kepada memberikan butiran lanjut seperti anggaran kos projek-projek usaha sama awam-swasta dan pengesahan khabar angin mengenai pembangunan tanah yang akan dimajukan," katanya. - BERNAMA

No comments: