2010/05/21
KUALA LUMPUR: Kontraktor kelas E dan F yang terpilih melaksanakan 19 projek bernilai RM10 juta ke atas menerusi kontrak RM65 juta kerajaan dijangka memperoleh margin keuntungan antara 15 sehingga 30 peratus melalui dasar agihan projek Skim Peruntukan Sementara (WPS). Pengurus Besar Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Kamarudin Mohd Salleh, berkata, melalui skim itu pemilihan kontraktor dibuat berdasarkan sebut harga projek dan bukan lagi pengundian yang diamalkan sebelum ini.
“PKMM juga berharap kerajaan akan meneruskan dasar itu pada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) supaya kontraktor kecil ini dapat terus `hidup’ ketika projek kurang ketika ini, ” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Isnin lalu, Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor, mengumumkan projek itu baki yang akan dilaksanakan dan ditender menjelang berakhirnya Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada tahun ini sekali gus memberi manfaat kepada 350 kontraktor kelas E dan F.
Kamarudin berkata, pelaksanaan skim berkenaan itu juga dijangka meningkatkan keupayaan kontraktor untuk lebih kompetitif, berdaya saing dan berkemahiran tinggi sekali gus mendapat kepercayaan kontraktor utama pada masa depan untuk diberikan projek.
“Soal daya saing dan kemahiran dalam bidang tertentu kontraktor kecil memang menjadi isu selama ini. Diharap skim ini berupaya mengubah persepsi kontraktor utama terhadap kemampuan kontraktor kecil,” katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KontraktorKelasE_FdijangkaterimauntungmelaluiWPS/Article
No comments:
Post a Comment