Thursday, January 28, 2010

Bumbung runtuh: PAC saran JKR baiki sistem pengurusan projek

27/01/2010 7:55pm

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyarankan Jabatan Kerja Raya (JKR) memperbaiki sistem pengurusan projeknya bagi memastikan tidak ada lagi projek di bawah seliaan jabatan itu yang berhadapan masalah pembinaan seperti di Terengganu.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, berdasarkan siasatan, PAC mendapati faktor kelemahan sistem pengurusan projek adalah antara punca utama insiden bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu Jun lepas.

"Kami tidak menyalahkan JKR, kita salahkan keseluruhan sistem, pengurusan keseluruhan projek lemah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil Kementerian Kerja Raya dan JKR bagi mendengar sendiri penjelasan mengenai beberapa insiden keruntuhan bangunan di Terengganu.

Pada 2 Jun lepas, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, yang bernilai RM292 juta dan menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008, runtuh menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah. – Bernama

No comments: