Thursday, April 5, 2012

Keunikan Masjid Ulul Albab



Mimbar Masjid Ulul Albab bermotifkan ukuran songket.


BESUT 4 April - Jerteh, tentunya bukan lagi sekadar nama diingati sebagai pekan di laluan penghubung antara Terengganu dengan Kelantan yang sedang pesat membangun.
Bagi sesiapa yang singgah atau sekadar melaluinya semasa dalam perjalanan, pandangan pastinya juga terarah kepada masjid-masjid yang tersergam indah, menggamit rasa untuk singgah.
Selain Masjid Hadhari yang menggabungkan unsur seni bina dua zaman kegemilangan peradaban Islam Timur Tengah dan Sepanyol terpaku di tengah pekan itu, kini sebuah lagi masjid turut menjadi mercu tanda barunya.
Masjid baru Seberang Jerteh mula digunakan Ramadan lalu yang awalnya bergelar sebagai 'masjid kayu'.
Ia memancarkan ketinggian seni bina dan seni pertukangan Melayu silam yang sekian lama seolah-olah dilupakan oleh penguasa atau perancang apabila setiap masjid ingin didirikan.
Seorang arkitek, Ar. Ahmad Hilmy Abdullah dari AHA Architect menyifatkan ia permulaan kepada usaha menyuburkan seni bina Melayu Islam.
''Saya gembira kerana membenarkan masjid sebegini muncul, apatah lagi ia bersesuaian dengan keadaan setempat kerana di sini masih merupakan lubuk para pengukir dan tukang Melayu yang terus mewarisi kemahiran dan kecintaan," ujarnya.
Katanya, biarpun reka bentuk tradisional mengikut acuan moden, namun ia masih boleh dianggap sebagai maha karya sezaman yang sewajarnya menjadi kemegahan bagi mereka yang mencintai resam dan budaya Melayu.
''Jika mengambil kira penggunaan kayu dan kaedah atau teknologi tulen pertukangan Melayu sepenuhnya, ia mungkin mengambil masa lebih panjang dan kos yang jauh lebih tinggi," katanya.
Selain sebagai tempat beribadat dan merehatkan lelah dalam suasana tenang dan nyaman, masjid yang dibina dengan kos dianggarkan RM12 juta itu turut sesuai untuk aktiviti kemasyarakatan.
Ia dibangunkan di tapak seluas 0.2 hektar bagi menggantikan masjid lama yang uzur dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Aibdin baru-baru ini sempena keberangkatan baginda ke daerah ini dan diisytiharkan namanya sebagai Masjid Ulul Albab.
Mira Murni Sdn. Bhd., merupakan syarikat yang bertanggungjawab membinanya dan masjid ini di bawah pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
Pengarah Urusannya, Kamarulazmi Hamat memberitahu, hanya struktur asas bagi masjid tiga tingkat ini seperti tiang dan lantai mengunakan simen dan bersalut kayu.
''Ia mengambil masa (menyiapkan) kerana perlu dibuat dengan teliti terutama hiasan dalamnya melibatkan ukiran hasil kerja tangan anak tempatan, iaitu Balai Seni Wan Po," ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Reka bentuk perabung lima masjid ini suatu ciri tempatan dan nusantara dengan mengambil konsep masjid Kampung Laut Tumpat, masjid tertua di negara ini yang dikatakan berusia lebih 250 tahun.
Ia bercirikan masjid Melayu lama hampir sepenuhya yang lazim mempunyai dan lantainya ditinggikan dari paras tanah untuk mengelakkan air dan binatang daripada memasuki masjid.
Bumbungnya berbentuk atap tumpang, bertingkat tiga yang meruncing ke atas untuk melancarkan penyaliran air hujan agar tidak mudah mereputkan bahan kayu.
Di antara tingkat-tingkat bumbung terdapat ruang berbentuk jendela untuk penyaliran udara dan cahaya untuk menyaman dan memberikan keselesaan manakala dinding, jendela dan jejala menepati fungsinya.
Selain tiang utama bangunan masjid dan lantai menggunakan konkrit, Masjid Ulul Albab menggunakan 90 peratus kayu cengal di samping nyatuh dan bala bagi melapisi konkrit menggunakan kaedah tebuk pasak.
Tingkat bawah masjid dijadikan dewan manakala tingkat kedua adalah ruang solat dan selasar serta tingkat ketiga berfungsi sebagai perpustakaan. Turut dibangunkan dua tempat berwuduk dan tandas.
Wan Po atau nama sebenarnya Wan Mustafa Wan Su seorang pengukir ternama yang merupakan anak jati daerah ini dan diangkat sebagai Adiguru Ukiran Kayu Malaysia dipertanggungjawabkan memberi sentuhan kepada wajah masjid.
Keseluruhan bangunan masjid dilapisi dinding janda berhias manakala 12 pintu utama ruang solat dihiasi corak awan larat dan pagar mimbar mengambil motif tenunan songket Terengganu.
Terdapat ukiran ayat suci al-Quran dan doa di pintu utama masjid manakala sekeliling bumbung dikenali sebagai andam-andam dipasang dengan kaligrafi kayu.
Enam kepala tangga masjid berkenaan dilakarkan ukiran abstrak yang menggambarkan ombak dan penyu membawa simbol perjalanan berona yang belum terhenti dan masih jauh.
Tempayan dan gayung diletak di anak tangga untuk bilasan kaki yang mungkin mengingatkan agar langkahan untuk ke ruang sujud perlu bermula dengan jasad dan jiwa yang bersih.

No comments: