Wednesday, June 8, 2011

Penduduk Kampung Baru perlu pertimbang sebelum terima PPK

Kiriman Sidiq Omar
KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Baru perlu memikirkan secara serius sebelum bersetuju dengan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB), kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman.

Beliau yang juga salah seorang pewaris tanah berkata, draf cadangan rang undang-undang berkenaan menyatakan Menteri berkuasa penuh melantik Pengerusi PPKB yang bakal ditubuhkan tanpa perbincangan dengan pemilik dan waris tanah Kampung Baru.

“Jika draf ini diluluskan, pemilik dan pewaris tanah langsung tiada hak untuk menyuarakan pendapat mereka tentang siapa yang seharusnya mengepalai PPKB kerana kuasa perlantikan di tangan Menteri,”

“Terpulanglah kepada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru untuk membuat keputusan kerana impaknya di masa hadapan akan ditanggung oleh mereka sendiri,” kata Syed Badli Shah dalam satu kenyataannya hari ini.

Syed Badli Shah turut mempertikai tindakan meminggirkan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Ghazali dari menghadiri program ‘ Majlis Penerangan Pembangunan Tanah Kampung Baru’ yang diadakan di Dewan Sekolah Agama, Jalan Raja Muda Musa, 5 Jun lalu.

Bahkan dirinya sendiri cuba diusir dari perbincangan apabila membangkitkan persoalan berhubung pindaan draf perlembagaan tersebut.

Difahamkan, beberapa individu yang tidak dikenali bersikap kasar dengan cubaan menarik keluar Syed Badli Shah dari dewan tetapi ditenteramkan oleh penduduk dan anggota polis yang mengawal majlis tersebut.

“Persoalan yang ditimbulkan oleh waris kepada penganjur antaranya alasan wakil rakyat tidak dijemput ke majlis tersebut.

“Pihak penganjur gagal menjawab, malah memutarbelit isu dengan mengatakan bahawa wakil rakyat sepatutnya berada di Parlimen dan bukannya bersama penduduk.

“Sedangkan, Ahli Parlimen Titiwangsa telah mengambil langkah awal dengan menubuhkan Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) dan mengadakan sesi dialog dari kampung ke kampung untuk bertemu dengan sebahagian besar pemilik dan pewaris tanah di Kg Baru.

“Malangnya tiada satu pun wakil dari SPKB dijemput untuk turut bersama dalam majlis penerangan tersebut. Malah tiada perbincangan langsung dengan pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Pertemuan itu turut dihadiri wakil dari Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu Kampung Baru (Mas), wakil Menteri Wilayah Persekutuan dan Persatuan Anak Kampung Baru (Pakam).

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=14939 

No comments: