Perdana Menteri berkata, cabaran dan isu berkaitan air terbahagi kepada tiga kategori, air yang berlebihan yang mengakibatkan bencana banjir, kekurangan air sehingga berlakunya kemarau dan kuantiti air akibat pencemaran yang berpunca daripada perubahan cuaca dan pemanasan global.

"Ini kerana impak daripada perubahan iklim ini dapat dikesan lebih awal dan kita mampu menyediakan pelan tindakan agar keadaan terkawal walaupun apa pun berlaku," katanya ketika berucap merasmikan Program Sambutan Hari Air Sedunia di Pekan, hari ini.
Dalam menghadapi isu itu, beliau berkata, kerajaan melancarkan Dasar Perubahan Iklim Negara, tahun lalu yang mengandungi pelbagai strategi dan pelan tindakan bagi mengurangkan impak perubahan iklim kepada negara.

Najib juga berkata, kajian sedang dilakukan dalam tempoh terdekat ini bagi menggubal Rang Undang-undang Dasar Sumber Air Negara dan keseluruhan institusi sumber air negeri bagi memastikan pengurusan sumber air yang lebih bersepadu dan berkesan.
"Justeru, urus tadbir sumber air di peringkat persekutuan dan negeri perlu dilakukan lebih bersepadu untuk menjamin keperluan sumber air kepada negara sentiasa mencukupi dan mematuhi piawaian kualiti air yang ditetapkan," katanya.
Selain itu, katanya, usaha terancang dibuat bagi mencari dan membangun sumber air alternatif seperti sumber air bawah tanah, kolam takungan, air hujan dan kegunaan semula air.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Uggah Embas; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung.
No comments:
Post a Comment