Friday, March 25, 2011

Gasing Meridian tuntut ganti rugi daripada penduduk


25/03/2011 2:49pm

KUALA LUMPUR 25 Mac - Gasing Meridian Sdn Bhd (GMSB), pemaju projek Sanctuary Ridge Kuala Lumpur City, membabitkan pembangunan 70 banglo di atas tapak 15.5 hektar di Bukit Gasing, mahu penduduk Bukit Gasing yang kalah dalam kes saman mereka terhadap GMSB, untuk membayar ganti rugi.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aziah Ali menetapkan 24 Jun, untuk sebutan semula permohonan itu selepas bertemu peguam R. Sivarasa yang mewakili 108 penduduk dan peguam Joslyne Goonting bagi pihak GMSB, dalam kamar hari ini.
Beliau berkata, mahkamah menetapkan kes itu untuk sebutan semula sementara menunggu penyelesaian permohonan rayuan penduduk berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman.
Sivarasa berkata, GMSB memohon ganti rugi memandangkan syarikat itu mendakwa tidak dapat meneruskan projek berikutan tindakan undang-undang yang diambil oleh penduduk terbabit.
"Bagaimanapun, kami menyatakan tiada asas perundangan bagi ganti rugi seperti itu dalam semakan kehakiman. Ini bukan seperti satu injunksi, di mana mahkamah boleh memerintahkan bayaran ganti rugi,” katanya.
Pada 6 September tahun lepas, Aziah menolak permohonan semakan kehakiman oleh pemohon untuk mencabar perintah pembangunan yang dikeluarkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi projek lereng bukit yang mencetuskan kontroversi di kawasan mereka, iaitu satu daripada beberapa kawasan hijau berhampiran Kuala Lumpur. - Bernama

No comments: