Saturday, February 12, 2011

'Kg Baru tak boleh dibangun dengan RM20 juta'

Feb 11, 11 4:34pm






Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) hari ini menyatakan rasa kurang bersetuju Masjid Jamek Kampung Baru di Kuala Lumpur dijadikan titik permulaan dan ikon transformasi kawasan itu. 

Yang Dipertua PPKB Dr Mohd Yusof Ismail berkata pemilik dan pewaris Kampung Baru menganggap sebagai kurang tepat, Masjid Jamek itu dijadikan pemangkin pembangunan Kampung Baru.

Pada 5 Februari 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Masjid Jamek Kampung Baru akan menjadi titik permulaan dan ikon transformasi kawasan itu untuk menjadi kawasan bernilai tinggi, canggih dan moden.

Beliau mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk membiayai pengubahsuaian dan naik taraf masjid berkenaan bermula dalam tempoh enam bulan dengan peruntukan disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan - 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr Mohd Yusof berkata mengikut pandangan profesional dalam bidang pembangunan bandar dan wilayah, untuk menjadi pemangkin usaha membangunkan sesuatu kawasan, suatu projek besar dan hebat patut diadakan.

Sebagai contoh kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dijadikan nadi pembangunan bagi keseluruhan kawasan KLCC dengan pembinaan Menara Kembar Petronas dan bangunan tinggi seperti Maxis di kawasan itu, katanya dalam satu kenyataan. 

"Kampung Baru tidak boleh mula dibangunkan dengan peruntukan sekecil ini (RM20 juta)," katanya.

Beliau ingin tahu perkembangan kepada cadangan pembangunan Menara Kembar Puncak Baru bernilai RM500 juta yang dilancarkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009 yang dianggap PPKB sebagi projek yang sesuai menjadi pemangkin pembangunan Kampung Baru.

PPKB juga menggesa isu lain berkaitan pembangunan Kampung Baru seperti Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru - kesesuaian dan kesannya kepada pemilik - serta cadangan kaedah penyerahan tanak milik penduduk, hendaklah diselesaikan segera.

--Bernama

No comments: