Monday, January 17, 2011

Kilang atas tanah pertanian?

Oleh Yusmizal Dolah Aling
OPERASI...kilang di atas tanah rizab pertanian di Taman Sri Indah, Balakong.
OPERASI...kilang di atas tanah rizab pertanian di Taman Sri Indah, Balakong.
ANGKUT...pekerja di kilang terbabit dipercayai warga asing menjalankan operasi.
ANGKUT...pekerja di kilang terbabit dipercayai warga asing menjalankan operasi.
KAJANG: “Kami hairan bagaimana kilang itu mendapat kelulusan untuk menjalankan operasi di atas tanah rizab pertanian,” kata Azhar Ahmad, 56, mengenai kilang haram yang beroperasi di tanah rizab pertanian Taman Sri Indah, Balakong, dekat sini.
Menurutnya, kegiatan kilang terbabit menimbulkan masalah kepada penduduk kerana jalan masuk utama ke kawasan perumahan berkenaan menjadi laluan lori dan treler mengangkut bahan dihasilkan.

“Penduduk yang meletakkan kenderaan di luar rumah terpaksa mengalihkannya ke tempat lain kerana bimbang dilanggar lori dan treler yang selalu keluar dan masuk,” katanya.
Azahar juga mendakwa, kilang itu yang mengeluarkan besi, tangki dan siling beroperasi sejak 10 tahun lalu, dibina terlalu hampir dengan penempatan penduduk menyebabkan bunyi bising setiap kali ia beroperasi.

Menurutnya, kilang terbabit turut dipercayai menggunakan khidmat pekerja warga asing dari Myanmar, Vietnam dan Bangladesh yang tidak diketahui statusnya kerana mereka turut tinggal di kilang itu.

“Kami hairan bagaimana pekerja boleh tinggal di situ kerana keadaan kilang yang kotor dan tidak terurus. Penduduk pernah bertemu pemilik kilang terbabit dan mengadu masalah yang dihadapi, tetapi dia mendakwa sudah mendapat kebenaran pemilik tanah untuk menjalankan operasi kilang di situ.
“Beberapa aduan sudah dibuat kepada pihak berkenaan, namun sehingga kini, masih tiada tindakan diambil. Wakil rakyat kawasan ini juga berjanji untuk tidak memperbaharui lesen kilang terbabit yang tamat Disember tahun lalu, tapi sehingga sekarang, ia masih beroperasi,” katanya.

Azhar berkata, penduduk yang tidak tahan dengan keadaan itu membina penghadang besi bagi menghalang lori keluar dan masuk ke perumahan itu, tetapi dirobohkan pihak berkuasa tempatan dengan alasan kilang terbabit mendapat kebenaran menjalankan perusahaan di situ.

Menurutnya, mereka semakin bingung kerana tidak tahu kepada siapa ingin mengadu kerana ahli majlis yang bertanggungjawab menjaga kawasan itu tidak turun padang untuk menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat berkata, siasatan penuh akan dilakukan bagi mengenal pasti status tanah berkenaan dan dijangka diketahui dalam masa terdekat.

“Kami akan hantar pegawai untuk meneliti segenap aspek termasuk berhubung dengan pemilik tanah itu. Selain itu, kami perlu periksa sama ada tanah terbabit termasuk di dalam senarai pemutihan yang dijalankan di Selangor sehingga Jun ini. “Selepas segala-galanya dimuktamadkan, baru tindakan susulan diambil bagi mengatasi masalah penduduk di situ,” katanya.

No comments: