KUALA LUMPUR 28 Dis. - Persatuan-persatuan pengguna menggesa kerajaan memperketatkan undang-undang pemilikan rumah demi menjaga kepentingan penduduk tempatan berikutan kebanjiran warga asing di negara ini yang semakin membimbangkan.
Mereka berpendapat, perkara itu perlu segera dilakukan kerana undang-undang pemilikan hartanah yang longgar memberi ruang kepada warga asing untuk terus menetap dan memiliki hartanah di negara ini.
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), N. Marimuthu berkata, tindakan segera perlu diambil supaya rakyat tempatan tidak terus menjadi mangsa keadaan tersebut.
''Kerajaan harus ada polisi yang jelas dan memperbetulkan segera masalah ini sekali gus mengurangkan masalah penduduk tempatan yang berasa terancam dengan kehadiran warga asing,'' katanya.
Beliau mengulas mengenai kebimbangan seorang pembaca akhbar ini mengenai kehadiran semakin ramai warga asing di negara ini sehingga mewujudkan koloni dengan membeli rumah termasuk yang dilelong yang disiarkan dalam ruangan Forum semalam.
Jelas Marimuthu, tanpa kawalan dan undang-undang yang ketat, warga asing akan terus memonopoli sektor hartanah tempatan dan seterusnya menjadikannya sebagai satu pelaburan untuk masa depan.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Dr. Jacob George pula berkata, kerajaan perlu menetapkan syarat kepada warga asing dalam pembelian hartanah supaya masalah itu tidak lagi membelenggu fikiran rakyat tempatan.
''Setiap kementerian perlu membincangkan perkara ini dan seterusnya mengadakan satu polisi yang seragam bagi membendung masalah ini.
''Perkara ini adalah satu perkara lama. Cuba kita perhatikan negara-negara seperti Singapura dan Amerika Syarikat, kenapa kita tidak boleh membeli rumah dan menggunakan perkhidmatan mereka dengan sewenang-wenangnya?'' soalnya.
Jelasnya, negara tersebut menggesa warga asing membeli insurans dan secara tidak langsung ia menutup peluang mereka untuk terus menggunakan perkhidmatan yang disediakan untuk rakyat tempatan termasuk membeli rumah.
Sehubungan itu katanya, Malaysia juga perlu mengambil tindakan sama supaya tidak timbul isu pengambilan hak dan keperluan penduduk tempatan.
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Salleh Yusup pula berpendapat, bilangan warga asing yang menyewa di kawasan perumahan dapat dikurangkan sekiranya tuan rumah berhenti mengambil mereka sebagai penyewa.
"Sekiranya bilangan warga asing yang ramai dianggap sebagai masalah kepada penduduk setempat, mereka perlu berhenti menyewakan rumah kepada warga asing tersebut," ujar beliau.
Salleh menambah, kebanjiran buruh asing di kawasan perumahan adalah berikutan tindakan kontraktor yang tidak menyediakan penempatan kepada mereka.
"Kontraktor seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap pekerja mereka dan salah satu cara tersebut ialah dengan menyediakan penempatan kepada golongan itu," katanya.
No comments:
Post a Comment