Wednesday, December 22, 2010

'Notis perobohan surau tak spesifik, terbatal'


Dis 22, 10 12:52pm
Usaha perobohan surau Al-Hidayah pekan Rawang yang mencetuskan bantahan penduduknya Ahad lalu hendaklah dibatalkan kerana notis pengosongan tapak daripada peguam tidak terperinci dan spesifik menyatakannya.

Nazir Masjid Nurul Iman Rawang Ilham Akhbar Harun berkata, berdasarkan surat bertarikh 10 Oktober, isu perobohan surau itu yang bernaung di bawah pentadbiran MNIR tiada langsung dibangkitkan.

NONE"Pendirian Masjid Nurul Iman dalam isu ini, bahawa surau tersebut haruslah dikekalkan seperti sedia ada. 

"Sehubungan itu, isu perobohan surau tiada kaitan ataupun terbatal,” kata Ilham Akhbar.

Surau Al-Hidayah antara surau yang bernaung bawah Masjid Nurul Iman di kawasan tersebut.

Pada 19 Disember lalu, Badan Bertindak Surau Al-Hidayah (BBSAH) Kampung Melayu Rawang mengadakan perhimpunan bantahan membantah pengambilan tapak surau itu.

Penasihatnya Datuk Ir Md Nasir Ibrahim dilaporkan berkata ketidakcekapan kerajaan negeri sekarang menyebabkan satu-satunya tanah orang Melayu di pekan Rawang yang luasnya tidak seberapa, jatuh ke tangan swasta.

'Abaikan agenda tersembunyi'
Bagaimanapun setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin berkata kerajaan Selangor tidak terlibat langsung dengan pelan pembangunan tapaknya.

Dalam kenyataan hari ini, Ilham Akbar juga berkata, berdasarkan dokumen di Pejabat Tanah dan Daerah Gombak, tanah tersebut (berkeluasan 1 rud dan 11 poles) telah direzabkan sebagai tapak masjid sejak 12 Mac 1920 lagi.

NONESehubugan itu, Ilham Akhbar, pihak masjid berpendapat ia perlu dikekalkan atas alasan berikut:
  • Sebagai simbol dan warisan kecemerlangan indentiti umat Islam di Rawang sejak 100 tahun yang lalu.
  • Tapak ini juga merupakan kawasan yang strategik untuk perkembangan Islam setempat.
  • Pengekalan rezab ini juga dapat memilihara kesejahteraan tujuh tapak kubur penduduk awal Rawang di kawasannya.
Beliau juga mendakwa pengekalan tapak masjid itu telah dipersetujui dalam pertemuan antara pentadbir masjid, ADUN Rawang Gan Pei Nie, ahli majlis terlibat dan wakil syarikat pemaju pada 20 Disember lalu (kelmarin).

”Kami berpendapat sebarang usaha untuk mempertahankan maruah dan juga kepentingan umat Islam di Rawang seperti isu perobohan surau ini haruslah dirujuk kepada pentadbir masjid yang telah diberi mandat dan amanah oleh DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan. 

”Sebarang tindakan yang meminggirkan peranan masjid dan mempunyai agenda-agenda yang tersembunyi haruslah diabaikan,” katanya lagi.

No comments: