Oleh FAIRUS KASSIM
bisnes@utusan.com.my
bisnes@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 19 Dis. - Pengenaan kadar faedah yang rendah untuk pembiayaan perumahan oleh pihak bank didakwa menjadi punca utama nilai hartanah melambung tinggi sehingga berada di luar kemampuan rakyat negara ini.
Ketika ini kebanyakan bank menawarkan kadar faedah pada purata empat peratus untuk membiayai rumah kediaman.
Bekas Ketua Pengarah Penilaian, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan, Mani Usilappan berkata, kadar faedah yang rendah ini menyebabkan permintaan terhadap rumah semakin meningkat melebihi keperluan lalu melonjakkan nilainya.
"Kadar persaingan yang tinggi ini menyaksikan golongan berpendapatan sederhana dan rendah akan gagal menyaingi golongan berpendapatan tinggi daripada aspek kuasa membeli.
"Ini menyebabkan golongan kaya mengambil kesempatan dengan membeli lebih daripada sebuah rumah dan sekali gus menutup peluang golongan lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mani berkata, pemaju hartanah swasta ketika ini juga mengambil kesempatan meletakkan harga hartanah mereka berdasarkan harga pasaran bukan harga kos.
"Oleh sebab terdapatnya, permintaan yang tinggi menyebabkan mereka berani meletakkan harga hartanah jauh mengatasi nilai sebenar dan tetap mampu menjualnya kerana faktor faedah yang rendah tadi.
"Contohnya, rumah di Bangsar mampu dijual dengan harga RM1 juta, maka pemaju hartanah yang lain akan meletakkan harga yang sama atau lebih dari itu.
"Keadaan yang berterusan ini akan menyebabkan harga hartanah dan rumah khususnya di kawasan bandar terus meningkat tanpa kawalan," jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Penilai, Pengurusan Harta Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta (PEPS) mendakwa kenaikan harga tersebut boleh menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi negara.
"Kadar faedah yang rendah untuk pembiayaan perumahan memang baik tetapi ia bertukar menjadi negatif apabila diambil kesempatan oleh golongan tertentu.
"Inflasi pasti berlaku jika nilai hartanah melebihi kemampuan rakyat. Ini kerana pendapatan rakyat tidak berubah tetapi kos hidup terus meningkat setiap tahun," ujarnya lagi.
Mani mencadangkan agar undang-undang pemilikan hartanah negara perlu diperbaharui secepat mungkin dan jika masalah ini dibiarkan berlarutan rakyat khasnya berpendapatan rendah pasti menerima nasib yang buruk.
Katanya, kerajaan tidak boleh mengharapkan pihak pemaju swasta untuk membangunkan rumah mampu milik kerana ini sebenarnya tanggungjawab mereka.
"Undang-undang baharu perlu diwujudkan agar pengagihan dan pemilikan hartanah dapat dilakukan secara adil, sekurang-kurangnya seorang warganegara mampu memiliki sebuah rumah," tegasnya.
Menurut Mani, satu lagi masalah yang melanda industri hartanah negara adalah diskriminasi terhadap pemilihan lokasi bagi pembinaan rumah jenis kos sederhana rendah dan rendah.
Katanya, hampir semua projek rumah tersebut ditempatkan jauh dari pusat bandar dan langsung tidak mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang baik perhubungan dengan pusat bandar.
"Kita sedia maklum, pemilik rumah jenis berkenaan adalah daripada golongan berpendapatan rendah, maka kos hidup mereka pasti meningkat jika membeli rumah jauh dari lokasi bekerja.
"Faktor ini juga yang menjadikan rumah yang sepatutnya mempunyai nilai di bawah RM100,000 di kawasan bandar khasnya di Kuala Lumpur melambung ke paras yang tidak masuk akal," jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengarah firma penilai hartanah, VPC Malaysia, James Wong pula menyarankan kerajaan membuka lebih banyak kawasan baharu untuk pembangunan hartanah khasnya di sekitar Lembah Klang untuk mengatasi masalah peningkatan nilai hartanah melebihi kemampuan rakyat.
Selain itu, insentif yang lebih mesra golongan berpendapatan sederhana dan rendah perlu diperbanyakkan serta dipermudah bagi memudahkan proses pemilikan hartanah seperti rumah, katanya.
Wong menyetujui bahawa penyediaan rumah mampu milik untuk golongan terbabit adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah bukannya pemaju hartanah.
Katanya, ketika ini negara berdepan dengan masalah pemilikan rumah di kalangan golongan muda terutamanya dalam penyediaan bayaran permulaan dan juga kelulusan pembiayaan bank.
"Purata harga rumah di Lembah Klang adalah sekitar RM200,000 hingga RM400,000 bergantung kepada lokasi dan saiz rumah berkenaan.
"Purata gaji golongan profesional muda sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan sahaja dan amat sukar untuk melepasi syarat kelayakan yang ditetapkan pihak bank untuk memohon pembiayaan," katanya.
Wong berkata, kerajaan baru-baru ini telah memperkenalkan skim pinjaman penuh bagi pembiayaan perumahan bagi golongan muda bagi mengatasi masalah terbabit.
Selain itu, perancangan kerajaan untuk melahirkan rakyat berpendapatan tinggi pada 2020 juga dilihat mampu mengatasi masalah ini pada masa depan, tambah beliau.
No comments:
Post a Comment