Sunday, August 22, 2010

Rang undang-undang perbadanan Kg Baru dibentang pada Okt

Ogos 21, 10 2:27pm
Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Dewan Rakyat yang bermula Oktober ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata draf rang undang-undang itu telah diserah kepada kepada Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi sebelum dibentangkan.

"Kita baru selesai makmal untuk draf rang undang-undang perbadanan Kampung Baru yang mana pandangan semua pihak telah diperbincangkan secara mendalam.

"Saya rasa secara umum semua asas telah diterima pakai dan pihak Peguam Negara sedang merangkakan undang-undang yang menepati kehendak daripada maklum balas semasa lab yang diadakan Julai lepas," katanya kepada pemberita, di Kuala Lumpur hari ini.

Raja Nong Chik berkata antara inti pati draf ialah perbadanan itu dijadikan badan pengawal dan penyelaras terhadap pembanguan Kampung Baru dan ia akan beroperasi tahun depan.

"Perbadanan berfungsi untuk mempertahankan ciri-ciri Melayu termasuk penglibatan pemilik dan pewaris dalam peringkat lembaga pengarah dan lembaga penasihat," katanya.

Pada masa yang sama peranan agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak ketepikan kerana ia masih bertanggungjawab daripada segi perancangan bandar raya Kuala Lumpur, kata Raja Nong Chik.

Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar. Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 penduduk.

Raja Nong Chik sebelum itu menyampaikan sumbangan duit raya dan kain pelikat serta kain batik kepada 783 fakir miskin dan anak yatim di Kuala Lumpur.

Pada majlis itu beliau turut menyerahkan bubur lambuk sumbangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kepada penduduk sekitar Kampung Baru.

Najib dan Rosmah menyumbangkan 50 periuk bubur lambuk kepada Masjid Jamek Kampung Baru yang diagih kepada masyarakat pada 18, 21 dan 25 Ogos.

--Bernama

No comments: