Monday, August 30, 2010

Enam peratus bangunan sekolah kritikal

Sebanyak enam peratus daripada 9,642 sekolah di negara ini yang diaudit oleh Jawatankuasa Audit Kemudahan Sekolah Kementerian Pelajaran dikategorikan dalam keadaan fizikal yang kritikal, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata kebanyakan sekolah dalam kategori itu terletak di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Katanya, antara masalah yang dihadapi ialah soal pendawaian elektrik dan kekurangan kemudahan rumah guru.

Berikutan masalah ini yang turut dialami sekolah menengah, sekolah-sekolah berkenaan terpaksa menumpang di bangunan sekolah rendah.

"Laporan mengenai sekolah yang diaudit oleh jawatankuasa audit kemudahan sekolah itu sudah siap dan saya sendiri telah melawat ke beberapa sekolah itu bagi melihat ketepatan maklumat laporan itu.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat SK Pekan Beluran di Beluran di Sabah semalam, Mohd Puad berkata laporan itu akan dikemukakan dalam mesyuarat pasca kabinet pada Rabu depan.

Dalam lawatan hari ini, Mohd Puad melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Ulu Sapi dan SMK Balaban Jaya di sini yang beroperasi dengan menumpang di bangunan sekolah rendah.
- Bernama

No comments: