Sunday, July 11, 2010

Taman Botani Putrajaya dinaik taraf

NAJIB Tun Razak bersama Rosmah Mansor tertarik dengan keindahan bunga tropika selepas merasmikan Festival Bunga dan Taman Putrajaya di Presint 2, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 10 Julai - Taman Botani Putrajaya akan dinaik taraf dan ditanam dengan lebih banyak tumbuh-tumbuhan untuk menjadikan ia taman yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pokok-pokok yang layu di taman seluas 90 hektar tersebut juga akan digantikan dengan pokok baru dalam usaha untuk mengindahkan pemandangan di situ.

"Putrajaya akan terus dibangunkan ke arah menjadi sebuah bandar dalam taman dan Taman Botani akan dinaik taraf supaya mendapat pengiktirafan tempatan dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Festival Bunga dan Taman Putrajaya atau Floria Putrajaya 2010 di Presint 2 di sini hari ini.

Festival selama sembilan hari itu dibuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 10 malam setiap Isnin hingga Khamis dan dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam pada Jumaat hingga Ahad.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, taman dan landskap yang berkualiti merupakan satu dari daya tarikan dan penyumbang penting kepada sektor pelancongan negara.

"Saya sentiasa memberi sokongan kepada sebarang usaha yang boleh mengindahkan negara kita dengan tumbuh-tumbuhan.

"Tumbuh-tumbuhan ini perlu dijaga dengan sebaik mungkin supaya membesar secepat mungkin.

"Diharapkan pokok-pokok di tepi jalan dapat menjadi kanopi kepada pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal manakala pemandu boleh menikmati suasana yang nyaman," katanya.

Dalam aspek ini, Najib mahu agensi-agensi yang berkaitan mengukuhkan peranan jabatan yang bertanggungjawab dalam soal landskap.

"Kalau kekurangan kepakaran, tolong cari pakar. Kita perlu kukuhkan keupayaan menyelenggara tumbuh- tumbuhan yang telah disemai," katanya.

Beliau berkata, Floria Putrajaya 2010 menyediakan peluang yang baik untuk meningkatkan profil bunga tropika sekali gus mempromosikan industri bunga-bungaan dan landskap tanah air ke tahap lebih tinggi.
UM

No comments: