Wednesday, July 7, 2010

Pencemaran dalam bangunan




AMBIL masa lima minit dan perhatikan keadaan siling dan dinding kediaman atau pejabat anda. Adakah anda menemui tompok-tompok hitam, cendawan-cendawan kecil yang mula menjalar atau perubahan warna yang tidak sekata?
Sekiranya tanda-tanda tersebut wujud, ia bermakna kediaman yang anda duduki mengalami penyakit yang dikenali sebagai sindrom bangunan sakit (SBS). Sindrom ini besar kemungkinan menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan kepada penghuninya.
Sindrom ini bukan sahaja disumbangkan jangkitan-jangkitan kulat pada dinding dan siling rumah, tetapi dimudaratkan lagi dengan ruang peredaran udara yang tidak lancar sehingga menyebabkan penghuninya berasa tidak selesa.
Perasaan tidak selesa berkenaan biasanya berbeza untuk setiap individu. Bagaimanapun, jangan abaikan perasaan itu sekiranya penyakit kecil seperti batuk, pening dan lemas mula wujud setiap kali berada dalam ruang yang sama.
Pencemaran udara bangunan
Menurut Ketua Unit Sains Kesihatan Persekitaran, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Juliana Jalaludin, kebanyakan kediaman dan bangunan hari ini dibina dengan aliran pengudaraan yang lemah menyebabkan bau dan pencemaran terperangkap di dalamnya, sekali gus menghalang proses pembersihan udara secara semula jadi.
“Habuk, cendawan, kulat, bakteria dan virus mampu mengisi udara dan dalam ruang kediaman kita. Ia mengakibatkan bau busuk, kerengsaan dan pelbagai respons alergi manakala pembebasan kimia daripada cat, pencuci, karpet dan bahan kimia lain turut disedut setiap hari,” katanya.
Juliana memberitahu, keadaan sedemikian yang berterusan akan memberi kesan kepada tahap kesihatan sehingga menyebabkan sakit kepala, sakit mata, bersin, batuk, kesukaran bernafas dan tiada mood untuk bekerja.

PENGGUNAAN peralatan khas perlu digunakan untuk mengukur kehadiran kulat, habuk dan bakteria pada udara di dalam bangunan.


“Kesilapan masyarakat hari ini adalah mereka tidak menyedari bahawa pencemaran banyak berlaku dalam ruang kediaman atau pejabat mereka sendiri sehingga mereka mengabaikan simptom-simptom penyakit yang mereka hidapi.
“Mereka juga tidak sedar simptom-simptom berkenaan hilang apabila mereka meninggalkan ruang bangunan atau kediaman yang mengalami sindrom sakit berkenaan,” katanya.
Oleh itu katanya, amat penting untuk penghuni sesebuah kediaman atau bangunan untuk melaporkan sebarang keadaan tidak selesa setiap kali berada dalam ruang berkenaan atau menjalankan pemeriksaan kualiti udara dalaman (IAQ) dengan pihak yang berkelayakan.
Sesebuah bangunan boleh dikategorikan sebagai sakit apabila lebih 30 peratus penghuninya mengadu menghidapi simptom-simptom yang dinyatakan tetapi kebanyakan simptom berkenaan hilang apabila pengadunya meninggalkan bangunan tersebut.
Menurut Juliana, sumber pencemaran lain yang menjadi punca sindrom bangunan sakit adalah aktiviti penyelenggaraan yang tidak teratur, bahan kimia, bahan pencuci, ubah suai bangunan, perabot-perabot baru, kelengkapan pejabat sedia ada dan sebagainya.
Pemeriksaan khas
“Melalui pemeriksaan menggunakan instrumen khas, pencemaran-pencemaran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar boleh dikenal pasti antaranya kontaminasi kimia seperti karbon dioksida, karbon monoksida, formaldehid, kompaun organik meruap dan asap tembakau.
“Pencemaran udara juga dilihat melalui suhu udara, kelembapan dan kelajuan udara yang tidak seimbang selain pembebasan agen biologikal seperti virus dan spora serta radiasi seperti radon,” jelasnya.
Juliana memberitahu, terdapat pelbagai jenis instrumen di pasaran atau ditawarkan pengamal kesihatan untuk tujuan pemeriksaan. Ia digunakan untuk menentukan suhu dan kelembapan udara serta kadar partikel bawaan udara, partikel ultra halus (UFPs) dan kimia aerosol.
“UFPs adalah partikel bersaiz kurang 0.1 mikrometer yang terhasil daripada aktiviti pembakaran dan reaksi kimia. Pernafasan yang mengandungi partikel pula mencabar tahap pertahanan semulajadi badan,” katanya.

LAKUKAN pemeriksaan pada kualiti udara di bangunan kediaman atau tempat anda bekerja untuk mengelak daripada serangan penyakit.


Dalam pada itu, Juliana memberitahu pembakaran lingkaran nyamuk turut memberi kesan kepada kesihatan pernafasan kanak-kanak kerana pembakaran bahan utama penghalau nyamuk itu iaitu insektisida piretroid membebaskan gas yang berbahaya.
“Pembakaran komponen-komponen daripada lingkaran nyamuk ini akan membebaskan gas yang apabila kanak-kanak bernafas ia akan masuk kebahagian bawah paru-paru dan berkemungkinan menyebabkan karsinogenik yang menyebabkan kanser.
“Gas-gas ini juga mampu mengganggu sistem pernafasan dan pendedahan berpanjangan meningkatkan risiko penyakit asma dan berdehit ke atas kanak-kanak,” tambahnya.
Justeru katanya, masyarakat perlu memiliki pengetahuan mengenai SBS bagi mengawal persekitaran dalaman sama ada kediaman mahu pun ruang pejabat. Selain itu kaji selidik perlu dijalankan sekiranya wujud simptom-simptom kesan SBS ke atas manusia.
“Sekiranya simptom-simptom wujud di dalam pejabat, buat aduan kepada pihak pengurusan supaya pemeriksaan dapat dijalankan, manakala di rumah, penghuninya boleh memilih produk mesra alam yang tidak merbahayakan kesihatan dan tidak membebaskan habuk.
“Kerajaan juga harus menilai semula kod COP berkaitan supaya pemantauan pencemaran persekitaran dapat dilakukan secara menyeluruh dan tidak menumpu kepada pencemaran luaran sahaja,” katanya.
kosmo

No comments: