Tuesday, June 22, 2010

Kementerian guna turapan moden

2010/06/22
Kaedah PMA atasi kecacatan jalan raya, tingkat keselamatan pengguna

MALAYSIA mempunyai rangkaian jalan raya sepanjang 124,974 kilometer (km) termasuk di Sabah dan Sarawak membabitkan 18,577 km Jalan Persekutuan, manakala selebihnya Jalan Negeri.

Pada 2008, kerajaan memperuntukkan RM732 juta dan RM545 juta pada 2009 untuk penyenggaraan Jalan Persekutuan. Berdasarkan kepada tahap pembangunan yang pesat dan peningkatan jumlah kenderaan bermotor setiap tahun, peruntukan kewangan dijangka meningkat selaras dengan penambahan panjang jalan. Bagaimanapun jumlah sebenar yang diperuntukkan untuk kerja penyenggaraan tidak seiring dengan penambahan panjang jalan.
Kategori jalan di Malaysia secara amnya di bahagikan kepada dua iaitu Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri. Jalan Persekutuan diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu agensi di bawah KKR.
Manakala, Jalan Negeri pula di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri yang berkenaan dan diselia sama ada oleh JKR Negeri, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran atau Pihak Berkuasa Tempatan.

Pada amnya, turapan aspal konvensional yang biasa digunakan mudah terjejas dan cepat rosak apabila terdedah kepada air dan risiko banjir.

Faktor lain yang menyumbang kepada kerosakan jalan adalah masalah penggunaan bahan yang tidak berkualiti dalam pembinaan, kaedah pembinaan yang tidak efektif, prosedur pembinaan tanpa kawalan yang ketat dan juga kenderaan komersial dengan muatan berlebihan.

Pembinaan jalan baru akan membabitkan pelaburan yang besar, justeru itu usaha untuk memastikan jangka hayat jalan raya yang dibina kekal tahan lebih lama perlu diutamakan. Aspek lain yang turut perlu diutamakan adalah peningkatan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
Kelewatan penyenggaraan turapan akan menyebabkan pembaziran dari segi kos dan masa sekiranya tidak dilaksanakan secara berkala pada masa akan datang. Oleh itu, penyenggaraan jalan secara berkala dan penggunaan bahan berkualiti memainkan peranan penting dalam memelihara kemudahan infrastruktur negara.

Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) bercadang menggantikan turapan aspal konvensional dengan Polymer Modified Asphaltic Concrete (PMA) dalam projek dan penyenggaraan jalan di lokasi yang bersesuaian.

Langkah itu bertujuan meningkatkan ketahanan turapan dengan mengurangkan kecacatan jalan disamping meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Untuk jangka masa panjang, penggunaan PMA adalah lebih efektif di mana boleh menjimatkan kerajaan sehingga 20 peratus daripada kos penyenggaraan jalan berbanding turapan aspal konvensional.

Dalam pembinaan dan penyenggaraan jalan, PMA boleh digunakan sebagai lapisan permukaan jalan yang efektif. Polymer Modified Bitumen (PMB) adalah bahan pengikat yang dihasilkan dengan mencampurkan polimer semula jadi atau sintetik dengan bitumen konvensional seperti gred 80/100. PMB, aggregat kasar dan halus dicampur untuk membentuk PMA yang dapat meningkatkan prestasi dan daya tahan permukaan jalan.
BHO

No comments: