Saturday, April 24, 2010

Sultan Selangor mahu masjid diselenggara dengan baik

Perhebatkan penguatkuasaan masjid - Sultan Selangor

HULU LANGAT 23 April - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya memperhebatkan penguatkuasaan bagi memastikan masjid dan surau di negeri ini tidak dijadikan gelanggang untuk berpolitik.
Baginda bertitah, JAIS perlu menguatkuasakan peruntukan Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 iaitu mengajar tanpa tauliah.
''Beta ingin mengingatkan sekali lagi bahawa beta tidak berkenan masjid dan surau dijadikan gelanggang untuk berpolitik serta tempat mengadakan demonstrasi yang negatif sama ada di dalam atau di kawasan pekarangan masjid.
''Masjid dan surau adalah tempat umat Islam dan orang Melayu bersatu padu, bermuafakat serta mengeratkan silaturahim dan sehingga hari ini beta berasa amat berpuas hati kerana institusi masjid masih menjadi simbol perpaduan umat Islam,'' titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Masjid Manbaeil Uloom, Taman Cheras Jaya dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Masjid bernilai RM5.3 juta itu bagi menggantikan Madrasah Manbaeil Uloom yang tidak dapat menampung lagi jumlah jemaah yang semakin ramai berikutan pembinaan lebih banyak taman perumahan di kawasan tersebut.

Masjid tersebut boleh memuatkan kira-kira 2,500 jemaah dan siap pada 24 Ogos 2006 di kawasan seluas 1.1 hektar.
Baginda bertitah, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) disaran membendung penyebaran fahaman yang boleh membawa perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini.
Sultan Sharafuddin juga mengingatkan agar setiap pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sentiasa mematuhi peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh JAIS.
''Penceramah-penceramah yang ingin dijemput hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.
''Ini untuk memastikan mereka yang mempunyai tauliah sahaja dibenarkan untuk berceramah, berkuliah, berkhutbah dan mengajar di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor,'' titah baginda.
Dalam pada itu baginda berharap Masjid Manbaeil Uloom dijaga dengan baik serta diselenggara dengan sempurna pada setiap ruang termasuk bilik-bilik kuliah, bilik imam, ruang mengambil wuduk dan tandas.
''Masjid ini harus sentiasa indah dan dapat dimanfaatkan dalam jangka masa selama yang boleh dan menjadi tempat yang benar-benar aman, selesa dan kondusif untuk setiap umat Islam melakukan ibadah,'' titah baginda.utusanonline

No comments: