Wednesday, December 9, 2009

ISU KB MALL

Dua ditahan kes kereta terjunam di KB Mall
Dis 8, 09 2:28pm
Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian sebuah kereta yang menjunam jatuh ke dalam pasar raya KB Mall di Kota Bharu dua hari lepas yang membunuh dua pelajar kolej kejururawatan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata lelaki berusia 20-an itu di tahan pukul 3 petang semalam, manakala yang perempuan ditahan malam tadi di rumah masing-masing.

"Kedua-duanya kini direman beberapa hari bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dikaitkan menyebabkan kematian dalam insiden itu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian pukul 5 petang Ahad lepas, dua pelajar perempuan Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan Kota Bharu, Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, terbunuh akibat dihempap kereta terbabit ketika berada di atas tangga bergerak pasar raya itu.

Dua lagi cedera parah iaitu Rashidah Ahmad Lutfi, 24, juga pelajar kolej yang sama dan pemandu kereta terbabit, Nurul Ain Said, 17 - kedua-dua dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Kedua-dua lelaki dan wanita yang dipercayai rakan kepada Nurul Ain menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Siasatan lanjut kini tertumpu kepada punca dan sebab kejadian.

Semalam Abdul Rahim berkata struktur tembok penghadang kenderaan di tempat letak kereta tingkat tiga bangunan pasaraya KB Mall yang tidak kukuh dipercayai punca kepada kereta yang dipandu Nurul Ain terjunam ke dalam bangunan.

Beliau berkata sekiranya tembok setinggi 1.8 meter itu dibina dengan bata dengan terdapat tetulang besi di dalam, mustahil ia boleh runtuh sebagaimana yang berlaku itu.

Difahamkan lelaki yang ditahan semalam adalah abang angkat kepada Nurul Ain dan kenderaan Ford Laser TX3 itu telah dipinjam oleh abang angkat berkenaan daripada seorang rakannya untuk membawa Nurul Ain dan adik Nurul Akmal, 14, ke pasar raya itu untuk membeli-belah. BERNAMA

Tembok lemah punca kereta terjunam: Polis
Dis 7, 09 12:06pm
Struktur tembok bangunan penghadang kenderaan di tempat letak kereta tingkat tiga bangunan pasaraya KB Mall yang tidak kukuh dipercayai punca kepada kereta yang dipandu seorang wanita terjunam ke dalam bangunan itu semalam.

Ketua Polis Kelantan SAC1 Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sekiranya tembok setinggi 1.8 meter itu dibina dengan bata dengan terdapat tetulang besi di dalam, mustahil boleh runtuh sebagaimana berlaku semalam
.

"Dinding itu dibina dengan bata setinggi 1.8 meter dan tidak terdapat besi di dalam bagi menguatkan dinding itu daripada mudah runtuh," katanya kepada pemberita pada majlis berkhatan beramai-ramai anak warga PDRM Kontinjen Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Pada kejadian pukul 5 petang semalam, dua pelajar perempuan Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan Kota Bharu, Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, terbunuh dihempap kereta terbabit ketika berada di atas tangga bergerak pasar raya itu.

NONEDua mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Lutfi, 24, juga pelajar kolej yang sama dan pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu.

Beliau berkata kejadian dikatakan berlaku apabila pemandu kereta terbabit tidak dapat mengawal kenderaan yang ditolak oleh seorang lelaki bagi menghidupkan enjin.

Abdul Rahim berkata siasatan awal mendapati tembok penghadang ke bangunan itu dibina dengan bata sahaja, tidak menggunakan konkrit tetulang sebagaimana lazim dilakukan ke atas bangunan-bangunan konkrit.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dan denda kerana dikatakan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.

Beliau juga meminta seorang lelaki yang dipercayai rakan kepada pemandu kereta itu yang menghilangkan diri tampil membantu polis menyiasat kes terbabit di mana-mana balai polis berdekatan.

"Kita percaya lelaki itu boleh membantu siasatan kerana dia berada bersama-sama bersama pemandu wanita dan adik wanita itu yang selamat," katanya. BERNAMA

Tragedi KB Mall: Mangsa minta RM50 sebelum maut
Dis 7, 09 11:06am
Bapa salah seorang mangsa, yang terbunuh kerana dihempap sebuah kereta di Pasaraya KB Mall di Kota Bharu, berkata anaknya itu memberitahunya bahawa beliau sihat tetapi meminta memasukkan RM50 ke dalam akaunnya.

Samsudin Abd Rahman, 52, berkata beliau tidak menyangka itulah permintaan terakhir anak ketiga daripada enam beradik, Siti Nor Amira Samsuddin, 19, sebelum meninggal dunia dalam kejadian di mana sebuah kereta jenis Ford Lser TX3 terjunam dari tempat parkir tingkat tiga pasar raya itu dan menghempap mangsa.

NONE"Kali terakhir saya bertemu dengan dia pada hari raya Aidiladha yang lalu. Semalam tiga kali saya menelefon dia untuk bertanya khabar.

"Tiada sebarang perubahan pada dia. Dia hanya memberitahu saya dia tidak mempunyai wang dan meminta saya memasukkan wang sebanyak RM50, itu sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II, di Kota Bharu malam tadi.

Mangsa yang berasal dari Felda Chiku, Gua Musang, pelajar tahun satu, semester tiga di sebuah kolej perubatan Masterskill di Kota Bharu meninggal dunia di tempat kejadian itu.

Samsudin berkata, beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu setelah mendapat panggilan telefon daripada pihak pengurusan kolej kira-kira pukul 5.30 petang semalam sebelum beliau dan keluarga bergegas ke HRPZII.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, dua pelajar perempuan kolej itu cawangan Kota Bharu maut, Siti Nor Amira dan Siti Nor Diana Azman, 18 manakala dua lagi yang parah iaitu rakan mereka Rashidah Ahmad Lutfi, 24, dan pemandu kereta jenis Ford Laser TX3, Nor Ain Said, 19.

Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Nor Ain itu rosak dan ditolak oleh rakan beliau yang dikenali sebagai Sabri dan hilang kawalan, merempuh tembok penghadang bumbung pasar raya itu, lalu terjunam dan menghempap tiga pelajar tersebut di tingkat bawah pasar raya berkenaan. BERNAMA


KB Mall baik ketika insiden kereta terjunam
Dis 7, 09 6:30pm
Struktur pasaraya KB Mall di sini disahkan dalam keadaan baik ketika kejadian di mana dua mangsa terkorban dihempap sebuah kereta yang terjatuh daripada parkir di tingkat tiga bangunan itu, kata pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan.

Datuk Takiyuddin Hassan berkata pengesahan itu diperoleh pada mesyuarat untuk membincangkan kejadian tersebut, yang dihadiri pegawai Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Kerja Raya (JKR), polis, bomba dan pengurusan pasar raya berkenaan.

Mesyuarat itu juga mengesahkan tiada sebarang kecacatan pada bangunan itu mahupun penambahan yang tidak diluluskan oleh MPKB-BRI, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas yang diadakan di pasaraya KB Mall di Kota Bharu hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun bangunan pasar raya itu disahkan berada dalam keadaan baik, pihaknya akan mengambil langkah penambahbaikan segera bagi menjamin keselamatan orang awam.

Pada mesyuarat itu juga, semua jabatan bersetuju dan membuat keputusan untuk menutup sementara tempat letak kereta di tingkat tiga pasar raya itu sehingga kawasan tersebut dibaiki selain menunggu pengesahan berhubung langkah keselamatan yang akan diambil MPKB-BRI.

Takiyuddin bagaimanapun berkata, mesyuarat terbabit tidak menyentuh soal punca kejadian dan pihak yang terlibat dalam kejadian itu berikutan ia di bawah bidang kuasa polis.

"Kita tidak sentuh soal itu kerana tidak mahu mengganggu tugas dan hasil siasatan polis, kita hanya berbincang mengenai faktor keselamatan bangunan dan orang ramai," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan mengkaji semula kesemua bangunan pasar raya di negeri ini walaupun kebanyakan pasar raya disahkan mempunyai tahap keselamatan yang sempurna.

"Memang mengikut kajian sebelum ini tahap keselamatan di semua pasar raya memang sudah baik dan sudah memadai tetapi kita tetap akan buat kajian semula terutama di pasar raya yang mempunyai tempat letak kereta di bahagian atas kerana mengambil kira kejadian kemalangan yang boleh berlaku," katanya.

Pada kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, dua pelajar kolej perubatan Masterskill di Kota Bharu, Siti Nor Amira Samsudin, 19 dan Siti Nor Diana Azman, 18 maut dan dua lagi cedera parah Rashidah Ahmad Lutfi, 24, pelajar dan pemandu Nor Ain Said, 19, apabila kereta yang dipandu Nor Ain rosak dan ditolak oleh rakannya dan hilang kawalan, merempuh tembok penghadang pasar raya itu, lalu terjunam dan menghempap tiga pelajar tersebut di tingkat bawah pasar raya berkenaan.

Sementara itu, Takiyuddin juga berkata pasaraya KB Mall yang ditangguhkan operasinya pagi tadi telah dibuka semula kira-kira pukul 2 petang tadi dan akan beroperasi seperti biasa mulai pukul 10 pagi esok.

Beliau berkata pasara raya itu dibuka setelah mengambil kira kepentingan peniaga, pekerja dan orang ramai berikutan pasar raya itu merupakan pasar raya terbesar di negeri ini yang menjadi tumpuan.

Katanya, pihaknya juga memberi jaminan terhadap keselamatan orang ramai serta mengarahkan pihak keselamatan pasar raya itu agar meletakkan papan tanda mencukupi di tempat kejadian tersebut. BERNAMA

No comments: