Friday, October 31, 2008

Pengiktirafan Tapak Warisan Boleh Ditarik Balik, Kata Shafie


ALOR GAJAH, 30 Okt (Bernama) -- Pengiktirafan terhadap sesuatu kawasan atau bangunan sebagai Tapak Warisan Dunia (WHS) boleh ditarik balik sekiranya pembangunan yang dilakukan di kawasan itu tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Sfafie Apdal berkata satu daripada syaratnya itu ialah kawasan itu tidak boleh dicemari pembangunan yang pesat termasuk bangunan pencakar langit.

Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran syarat, Unesco boleh menarik balik pengiktirafan itu, katanya ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai projek bangunan tinggi yang telah diluluskan di bandar Georgetown, Pulau Pinang yang telah diiktiraf sebagai WHS, sama ada ia melanggar syarat Unesco.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Pusat Aktiviti Perpaduan Daerah Alor Gajah di sini hari ini, Mohd Shafie meminta kerajaan negeri Pulau Pinang merujuk kepada Jabatan Warisan berhubung perkara itu.

"Ini berlaku di Switzerland apabila Unesco yang mengiktiraf satu jambatan di negara itu kerana keunikan struktur dan seni binanya telah menarik balik pengiktirfan itu kerana gagal mematuhi syarat dan perkara yang sama boleh berlaku (di Georgetown)," katanya.

Unesco mengiktiraf Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang sebagai tapak warisan dunia pada Julai lepas.

Mengenai peruntukan RM50 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan di Melaka dan Pulau Pinang sebagaimana dibentangkan dalam Bajet 2009, Mohd Shafie berkata ia diurus tadbir oleh Jabatan Warisan.

"Kerja pemuliharan adalah di tapak-tapak warisan yang mempunyai nilai sejarah dan dalam hal ini peruntukan yang akan diagihkan kepada Melaka lebih banyak kerana nilai dan warisan sejarah yang lebih lama sejak zaman Portugis," katanya.

Beliau berkata kemungkinan besar pakar Unesco akan datang untuk melihat kerja pemuliharaan warisan itu dilakukan.

-- BERNAMA

No comments: